Wednesday, January 19, 2011

Pesta Syiling...

Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pagi tadi, saya mendengar topik pagi HOT FM. Berkenaan kemalangan yang berlaku semalam dimana sebuah pacuan empat roda yang membawa satu peti duit syiling terbalik. Orang ramai terutamanya penunggang motosikal, mengutip duit syiling yang berteraburan tanpa menghiraukan keselamatan masing2.

Hrrmmm... Selalunya kita akan tolong orang yang terlibat dalam kemalangan.. Kali ni, tolong jugak.. Tolong kutip dan masuk poket sendiri.. Kesian pemandu pacuan empat roda berkenaan yang tak boleh buat apa2.

Berikut adalah laporan dari Harian Metro..

SEREMBAN: Menyedihkan apabila pengguna jalan raya seolah-olah ‘berpesta’ memungut syiling yang bertaburan di lebuh raya selepas kenderaan membawa wang itu terbalik dalam kemalangan di Kilometer 244 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), dekat susur keluar Pedas di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, pengguna jalan raya termasuk wanita bagaikan tidak mempedulikan anggota polis dan petugas lebuh raya yang turut berada di lokasi kejadian.

Mereka dilihat memasukkan syiling 50 sen, 20 sen dan 10 sen yang bertaburan di tengah dan tepi lebuh raya ke dalam beg serta plastik dibawa.

Malah, ada antara mereka sanggup bersila di atas rumput dan asyik memungut syiling itu walaupun ‘pemilik’ duit berkenaan berada di lokasi kejadian menyebabkan pihak berkuasa menutup laluan selama lima minit bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tinjauan Harian Metro di lokasi kejadian mendapati ada pengguna sanggup mempertaruhkan nyawa memungut syiling di tengah lebuh raya tanpa mempedulikan kenderaan lalu lalang.

Pemandu pacuan empat roda membawa wang berjumlah lebih RM70,000 berkenaan yang dikenali sebagai Zairulhisham Mansor, 28, berkata kejadian berlaku selepas kenderaannya dilanggar daripada belakang oleh sebuah kenderaan lain.

“Akibat perlanggaran itu, pacuan empat roda yang saya pandu hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan syiling dibawa bertaburan.

“Ketika itu, saya berada di lorong paling kiri dan bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Katanya, seorang rakan dalam pacuan empat roda bersamanya cedera ringan akibat kemalangan itu.

Harian Metro difahamkan, wang berkenaan milik sebuah syarikat pengedaran syiling dari Shah Alam, Selangor untuk dihantar ke beberapa pasar raya di Melaka.


 Gambar dari Harian Metro

Gambar dari Kosmo.. (muka nampak jelas)

P/S:: Alangkah bagusnya kalau mereka2 yang mengutip syiling ini pulangkan balik kepada tuannya... Sesungguhnya berdosa kita amik barang yang bukan hak kita...

No comments:

Post a Comment